09 Ogos 2011

RaMaDhan Al-MubAraQ

Antara sedar dan tidak telah lebih lapan hari kita berpuasa Ramadhan, ini bermakna kita sama-sama telah semakin meninggalkan fasa pertama Ramadhan. Fasa Rahmah (kasih sayang Allah), semoga kita sentiasa diberi kekuatan untuk terus mengumpul hadiah-hadiah dari Allah.

Kita menuju ke fasa kedua iaitu Maghfirah (keampunan Allah SWT). Maka untuk sampai kepada keampunan Allah SWT itu di antaranya perlu sekali disulami dengan akhlak mahmudah dan menjauhi akhlak mazmumah. Akhlak mahmudah itu hanya akan dapat diperolehi oleh orang yang berpuasa bila segala adab dan tertib puasa dipelihara sebaik mungkin tanpa ada unsur-unsur pencemaran yang dilakukan sama ada sengaja atau tidak. Walaupun manusia itu ada kalanya membuat kesilapan dan alpa kerana itulah fitrah kejadiannya.

Menunggu kita di malam 10 terakhir di Fasa Ketiga ialah “Itqun Minan Nar” Bebas dari cengkaman api neraka. Menanti di fasa terakhir Ramadhan ini ialah bebasnya dari api Neraka dalam ertikata setelah melalui dua Fasa Ramadhan, maka di penghujung Ramadhan janji Allah kepada manusia ialah terbebasnya manusia dari api neraka. Terbebasnya manusia dari api neraka ini merupakan hadiah Rabbul Jalil kepada mereka yang bersungguh-sungguh memenuhi Ramadhan dengan keyakinan, kepercayaan, ketelusan dan kesabaran mereka inilah yang akan diampunkan oleh Allah SWT. Fasa terakhir Ramadhan ini dianugerahkan oleh Allah SWT dengan malam Lailatul Qadar. Umat Islam akan memperolehi pahala dan keberkatan amalan dengan melebihi seribu bulan. Walaubagaimanapun ia hanya boleh diraih bagi mereka yang berusaha keras dengan mengikut tertib dan amalan yang telah digariskanpandukan oleh para ahli ibadat dan salafussoleh

01 Ogos 2011

BuLaN TaRBiAh

ADAB-ADAB PUASA

MELAMBATKAN SAHUR
Zaid bin Thabit r.a. pernah makan sahur bersama Rasulullah s.a.w. dan baginda s.a.w. ditanya : Berapa lamakah jarak antara sahur Rasulullah s.a.w. dengan azan Subuh maka baginda s.a.w. menjawab : Membaca 50 ayat Al-Quran – HR Bukhari & Muslim. (Lebihkurang 20 minit)

Sahur itu berkat, maka janganlah kamu meninggalkan walaupun hanya dengan seteguk air kerana sesungguhnya Allah dan para malaikat berselawat ke atas orang-orang yang makan sahur. – HR Ahmad

SEGERA BERBUKA
Manusia sentiasa didalam kebaikan selama mereka mempercepatkan berbuka – HR Bukhari & Muslim

3. BERBUKA DENGAN KURMA

Adalah Rasulullah s.a.w. berbuka dengan kurma segar (rotab), sebelum solat maghrib, jika tidak ada baginda s.a.w. berbuka dengan kurma kering (tamar), jika tidak ada baginda s.a.w. minum beberapa teguk air – HR Abu Daud Dan Al Hakim, Tirmidzi

4. BERDOA KETIKA BERBUKA

3 golongan yg doa mereka tidak ditolak : Orang yang berpuasa sehingga ia berbuka, pemimpin yg adil dan orang yang dizalimi – HR Tirmidzi – Sanad Hasan

5. MEMPERBANYAK SEDEKAH

Menderma dalam bulan Ramadhan adalah lebih digalakkan dan lebih afdhal.

Nabi s.a.w. adalah orang yang paling dermawan dan baginda s.a.w. lebih dermawan lagi dalam bulan Ramadhan – HR Bukhari & Muslim

6. IFTAAR SHAIMIIN

Maksudnya memberi makan kepada orang-orang yang berpuasa.

Barangsiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa maka baginya seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa dikurangi sedikitpun dari pahalanya - HR Ahmad dan Tirmidzi.

BANYAK MEMBACA AL-QURAN
Bacalah Al-Quran kerana ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafa’at (pertolongan) kepada pembacanya – HR Muslim & Abi Umamah

8. MENJAUHI SEGALA MAKSIAT

Bukanlah puasa (hanya menahan) dari makan dan minum, sesungguhnya puasa (juga menahan)dari perbuatan sia-sia dan perkataan lucah – HR Ibn Khuzaimah, Ibn HIbban, Al-Hakim

QIYAM RAMADHAN
Maknanya mendirikan malam-malam Ramadan dengan ibadat seperti solat Terawih & Witir.

Barangsiapa yang mendirikan malam-malam Ramadhan kerana iman dan mengharap pahala (dari Allah), nescaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu – Muttafaq A’laih.

BERSUNGGUH-SUNGGUH BERIBADAT 10 AKHIR RAMADHAN
Rasulullah s.a.w. mempertingkatkan ibadatnya pada 10 terakhir Ramadhan melebihi dari amalan baginda s.a.w. pada 20 Ramadhan pertama. Sepuluh akhir bulan Ramadhan merupakan hari yang paling istimewa dalam setahun kerana pada masa itu diharapkan “Lailat Al Qadr” akan muncul.

Nabi s.a.w beriktikaf pada 10 akhir bulan Ramadhan sehingga baginda s.a.w. diwafatkan oleh Allah kemudian (diteruskan sunnah) Iktikaf sesudahnya oleh para isterinya – Muttafaq A’laih